Siti kembali meriahkan ABPBH

KUALA LUMPUR: Kukuh membina nama dan populariti sejak 25 tahun lalu, hubungan Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) cukup akrab dan dekat di hati.

Tujuh kali diangkat Bintang Paling Popular, 13 trofi Penyanyi Wanita Popular dan pengiktirafan khas, Anugerah Sri Perak sempena sambutan ulang tahun ke-25 ABPBH pada 2011, menjadi bukti kehebatan serta keampuhan penyanyi Cindai ini.

Siti yang sudah menginjak usia 42 tahun mengaku acara kebanggaan akhbar BH ini menjadi antara platform menjulang nama sehingga diberi jolokan penyanyi nombor satu negara.

Menggenggam trofi Bintang Paling Popular ketika berusia 18 tahun, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini menyifatkan ABPBH sebagai simbolik keakraban hubungan dengan peminat.
“ABPBH memberi impak luar biasa kepada kerjaya artis. Dinobat sebagai Bintang Paling Popular pada usia 18 tahun adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“ABPBH banyak meninggalkan kenangan manis dalam kerjaya seni saya. Melalui ABPBH, saya lebih dikenali dan dapat mengeratkan hubungan dengan peminat.

“Malah, melalui ABPBH, saya sentiasa bersemangat menampilkan yang terbaik dalam kerjaya seni.

Bca Juga :  Suasana Jelang Prescone Lagu Baru 'Menyerah' Lesti Kejora dan Mom Uung Produser Rizky Billar

“Tidak ketinggalan, saya mendapat peluang baharu apabila semakin banyak pihak percaya bakat saya,” katanya.

Pemilik empayar perniagaan SimplySiti yang mula menawan hati peminat sejak menyertai pertandingan Bintang HMI ketika berusia 16 tahun pada 1995 ini turut mempelajari sesuatu melalui ABPBH.

Akui Siti, pembelajaran itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Saya percaya media, peminat, artis dan selebriti saling memerlukan. Semangat inilah yang saya lihat ada di ABPBH.

“Kita saling menghargai dan menjadi tulang belakang dalam kerjaya masing-masing,” katanya.

Ketika namanya di puncak, Siti membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi bertanding di pentas ABPBH pada 2010.

Keputusan itu jelas mengundang kekecewaan dalam kalangan peminat termasuk kelab pengikutnya, SitiZone.

Siti Nurhaliza akui TikTok salah satu platform perkongsian video yang digemari ramai, malah aktif menggunakannya untuk cabang kerjaya seni dan perniagaan. – Foto IG Siti Nurhaliza
Namun, dari sudut lain, tindakan diambil ibu Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid itu bersebab dan membuka laluan kepada artis lain untuk mengecap kejayaan sama.

Bca Juga :  Rachel Vennya Ternyata Dibantu Lolos Oknum Tni

“Ketika mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam ABPBH, saya ada alasan tersendiri.

“Saya yakin artis atau selebriti lain yang mengambil tindakan sama, ada sebab mereka.

“Walaupun tidak lagi bertanding atas kapasiti sendiri, sesekali saya turut dicalonkan untuk anugerah tertentu melalui kolaborasi dengan artis lain.

“Seperti tahun ini, saya bolos dalam kategori Artis Duo/Kolaborasi/Kumpulan Popular bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo untuk lagu 7 Nasihat.

“Saya juga dicalonkan dalam kategori baharu yang diperkenalkan penganjur dan rakan kerjasama iaitu kategori Artis TikTok Popular,” katanya.

Malah, Siti yang cukup bijak menjawab soalan media dan mesra melayan wartawan, sesekali menerima undangan membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH.

“Persembahan di pentas ABPBH atau acara dianjurkan BH saya cuba penuhi jika tiada halangan.

“Saya percaya kepada nilai apresiasi hubungan dan kerjasama antara syarikat penerbitan atau media dan diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pencalonannya dalam kategori Artis TikTok Popular, Siti mengaku pada mulanya berbelah bahagi untuk menyatakan persetujuan.

Bca Juga :  Saksi Ahli Ungkap H. Faisal Yang berhak Atas Hak Asuh Gala Sky

“Apabila TikTok menghubungi syarikat pengurusan untuk mencalonkan saya dalam kategori berkenaan, saya tidak terus memberikan kata putus.

“Namun, selepas timbang tara, saya mengaku TikTok adalah salah satu platform perkongsian video yang sedang digemari ramai.

“Saya aktif menggunakannya untuk cabang kerjaya seni dan perniagaan. Lalu, atas kepercayaan diberi, saya bersetuju kerana TikTok yang mencalonkan saya,” katanya.

Siti memiliki 1.1 juta pengikut di akaun TikTok. Bersaing dengan Siti Nordiana, Syamel, Ernie Zakri, Izzue Islam, Haqiem Rusli dan Khai Bahar dalam kategori Artis TikTok Popular.

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *