KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun perjalanan kerjaya nyanyian tergendala berikutan pandemik COVID-19 mendorong kumpulan Drama Band merangka strategi untuk menawan semula hati peminat.
Drama Band yang dianggotai Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib turun padang mendekati peminat, selain mempromosikan album sulung berjudul Drama yang memuatkan 16 lagu hasil sentuhan anggota Drama Band di Laman IR, Sungai Besi pada Sabtu lalu.
Persembahan berkonsep busking yang dikenali sebagai ‘drama busking tour’ adalah pembukaan kepada siri jelajah bagi mempromosikan album Drama selepas sedekad berada dalam industri muzik.
Vokalis Drama Band, Aepul Roza berkata, album Drama siap penghujung tahun lalu dan pernah dilancarkan awal tahun ini ketika muncul pada program Konsert Minggu Ini yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Namun, aktiviti siri jelajah yang dimulakan di Perak dan Melaka awal tahun ini terpaksa dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sempat menjayakan dua siri jelajah di Ipoh dan Melaka sebelum PKP. Kini, aktiviti busking kembali dibenarkan, jadi kami merancang memulakan siri jelajah, namun buat permulaan, menyasarkan sekitar Lembah Klang.
“Setakat ini, lokasi dan tarikh promosi belum diperoleh, namun kami masih berurusan dengan beberapa pihak. Lagipun, aktiviti busking baru dibenarkan, jadi banyak perkara perlu disusun.
“Kami memilih konsep busking kerana lebih dekat dengan peminat dan tidak terlalu formal. Apatah lagi, banyak kegiatan seni tergendala selepas hampir dua tahun penularan COVID-19.
“Jadi, ini adalah salah satu cara Drama Band menawan semula hati peminat,” katanya kepada BH Online.
Aepul berkata, dia tidak menolak pandemik memberikan kesan kepada perjalanan seni Drama Band, namun percaya semua penggiat muzik berdepan perkara sama.
“Apabila aktiviti seni dibenarkan semula, dapatlah Drama Band menjalankan promosi album Drama yang tertangguh,” katanya.
Berkongsi mengenai album Drama, Aepul berkata, lagu yang dimuatkan dalam album dikumpul dari awal kemunculan Drama Band sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, Drama Band memberikan semula nafas baharu kepada lagu yang pernah dirakam, tetapi tidak ketinggalan, menyelitkan lagu yang belum pernah diperdengarkan.
Sebagai kelainan, Aepul berkata, album Drama dipersembahkan dalam bentuk pemacu kilat USB.
“Kami hasilkan album Drama dalam bentuk pemacu kilat USB bagi mengikut peredaran masa memandangkan kebanyakan kenderaan memiliki kemudahan mencucuk pemacu kilat berkenaan.
“Selain itu, peminat boleh menggunakannya di komputer riba dan peribadi.
“Kami teruja dan tidak sabar berkongsi album Drama dengan peminat. Walaupun ada antaranya lagu lama, kami memberikan nafas baharu dengan merakamkan semula serta menampilkan susunan muzik baharu,” katanya.
Antara lagu dimuatkan termasuk JBKT, Bertahanlah, Kayangan, Babak Pertama dan Jiwa.